SKM AKUAKULTUR

TRANSFORMASI PERTANIAN MENJANA EKONOMI NEGARA

BERITA

MASALAH KEKURANGAN IKAN MARIN

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on December 12, 2013 at 12:50 PM

GAMBAR ATAS : Mohamed Razali Mohamed melihat alga hijau yang dijadikan sebagai makanan kepada organisma mikro sebelum organisma mikro tersebut dijadikan pula makanan untuk benih ikan.

Hasil laut seperti ikan kini tidak hanya dijadikan hidangan semata-mata, namun sesetengah nelayan menangkap anak-anak ikan untuk dijadikan produk sampingan seperti baja (ikan baja) dan makanan haiwan ternakan.

Terbaharu, ketegasan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menguatkuasakan larangan penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda 38 milimeter patut dipuji dan disokong sepenuhnya.

Penguatkuasaan tersebut untuk melindungi sumber marin seperti sumber makanan, batu karang dan anak-anak ikan dapat terus membesar sekali gus memastikan stok ikan dalam perairan negara sentiasa terkawal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Aquagrow Corporation Sdn. Bhd., Mohamed Razali Mohamed, sejak 2005, pendaratan ikan marin mencatatkan penurunan bermula daripada 35 peratus kepada 30 peratus pada tahun 2010.

Bagaimanapun katanya, di sebalik kemerosotan tersebut, permintaan masyarakat dunia terhadap hasil laut terus meningkat saban tahun berikutan faktor pertambahan penduduk di seluruh dunia.

"Malah, jika dilihat keadaan masa kini, nelayan mengalami kesukaran untuk mendapatkan hasil laut kerana stok ikan marin semakin berkurangan akibat penangkapan yang berleluasa.

"Asia merupakan antara yang benua yang terbesar membekalkan ikan ke seluruh dunia sebelum ini, namun trend tersebut telah berubah di mana negara seperti China lebih banyak mengimport berbanding mengeksport hasil laut bagi memenuhi permintaan rakyatnya yang semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat anak syarikat Aquagrow Corporation Sdn. Bhd., JHR Aquaculture Sdn. Bhd., di Telaga Habour Park, Pantai Kok, Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Jelasnya, apabila hasil marin semakin kurang diperolehi oleh nelayan, pola permintaan terhadap ikan laut berubah kepada sektor penternakan (akuakultur).

"Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2011, kita mendapati terdapat peningkatan pengeluaran bagi ikan ternakan.

"Malah sektor tersebut kini dilihat begitu cepat berkembang dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan sektor akuakultur," katanya.

Menyedari potensi penternakan ikan marin yang semakin berkembang pesat, Aquagrow Sdn. Bhd. menerusi JHR Aquaculture Sdn. Bhd. turut melibatkan diri dalam mengusahakan ternakan ikan marin menggunakan bioteknologi.

Ujar Mohamed Razali, pihaknya kini sedang mengusahakan ternakan ikan marin di dalam sangkar yang dahulunya merupakan projek yang tergendala, namun dalam bentuk yang berbeza kerana menggunakan bioteknologi sepenuhnya.

Antara ikan yang dipelihara adalah spesies kerapu, siakap, jenahak dan ikan merah berikutan spesies tersebut mendapat permintaan tinggi bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Harga bagi ikan siakap masa kini adalah RM17 sekilogram (kg), jenahak (RM20 /kg), dan ikan merah RM24 kg dan kadar harga itu sentiasa berubah mengikut permintaan, tambahan ketika musim perayaan.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap ikan marin, dua buah ladang diwujudkan bagi menampung permintaan serta menyediakan stok ikan agar sentiasa mencukupi.

Kedua-dua ladang ternakan tersebut terletak di Langkawi, Kedah dan Tok Bali di Kelantan.

"Kita memilih untuk mewujudkan ladang ternakan berasingan adalah sebagai salah satu strategi berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Sebagai contoh, jika apa-apa berlaku, contohnya pencemaran mahupun bencana alam di satu-satu kawasan yang boleh memberi kesan terhadap ternakan, sekurang-kurangnya tidak semua ternakan akan terjejas kerana kita memiliki kawasan yang berasingan," katanya.

Malah, dalam masa yang terdekat, Aquagrow juga akan membina sebuah lagi ladang ternakan ikannya di Sabah bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Projek ternakan ikan marin tersebut kini memasuki tahun yang ketiga dan ikan yang diternak sedia untuk dijual sama ada di dalam mahupun luar negara.

Ujar Mohamed Razali, permintaan yang tinggi bagi ikan marin menyebabkan ada sesetengah usahawan ikan dari Hong Kong sedang berusaha memujuknya untuk menjual stok ikan sedia ada.

Namun, berpengalaman luas dalam sektor ternakan ikan marin menjadikan Mohamed Razali tidak mudah untuk menerima tawaran malah menunggu sehingga waktu dan ketika yang sesuai untuk menjual stok ikan yang bernilai ratusan ribu ringgit tersebut.

Antara stok ikan yang sedia untuk dijual pada hujung tahun itu adalah kerapu dan siakap atau lebih dikenali sebagai Barramundi di kalangan peminat ikan tersebut di Eropah.

"Harga ikan akan melambung pada musim-musim perayaan terutamanya pada perayaan Tahun Baru Cina pada awal tahun dan Sambutan Hari Natal pada bulan tiga dan kebiasaannya ikan-ikan ini akan dijual keluar negara seperti Thailand, Korea, China, Hong Kong dan Eropah," katanya. - ASHRIQ FAHMY AHMAD

SUMBER : UTUSAN

 

 

Categories: None

Post a Comment

Oops!

Oops, you forgot something.

Oops!

The words you entered did not match the given text. Please try again.

Already a member? Sign In

0 Comments

VIDEO TERKINI

573 views - 0 comments
746 views - 0 comments
769 views - 0 comments
691 views - 0 comments

Daftar e-mail anda untuk info terkini SKM Akuakultur