SKM AKUAKULTUR

TRANSFORMASI PERTANIAN MENJANA EKONOMI NEGARA

BERITA

view:  full / summary

INOVASI TERNAKAN AKUAKULTUR NEGARA

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on April 15, 2014 at 7:00 AM Comments comments (0)


 

  GAMBAR ATAS : KETAM yang siap dibuang kaki dimasukkan ke dalam bakul ternak.

Dilihat pada bentuk fizikalnya yang bercengkerang, sukar untuk mempercayai kulit ketam nipah dapat dilembutkan. Namun, hakikatnya ia bukanlah suatu perkara mustahil. Malah, tanpa kaedah moden atau sebarang bahan kimia, cengkerangnya boleh dilembutkan.

Muhammad Nur Rafizi Razak, 24, dari Kuala Gula, Perak, mempunyai ‘formula’ untuk melembutkan kulit ketam nipah.

Teknik digunakan adalah dengan memotong sebahagian organ ketam itu untuk membolehkannya melalui proses bersalin kulit.

Bermula dengan percubaan dilakukan secara suka-suka, dia kini menempa kejayaan besar dalam inovasi ternakan akuakultur negara.

Malah, ketam kulit lembut dihasilkan itu diterima baik penggemarnya, selain dijadikan menu utama di kebanyakan restoran makanan laut.

Inovasi mengubah cengkerang ketam yang keras bertukar lembut serta boleh dimakan menjadikan ketam kulit lembut keluarannya menjadi buruan ramai penggemar makanan laut.

Kajian dilakukan selama lebih tiga tahun bermula 2008 itu kini membuahkan hasil lumayan.

Suatu ketika ketam kecil sekitar 50 hingga 100 gram itu tidak mempunyai nilai di pasaran, namun sekarang bertukar menjadi produk makanan bernilai tinggi.

“Saya melihat banyak ketam kecil tidak mempunyai nilai pasaran untuk dijual.

“Malah, pemborong ikan atau ketam tidak berminat membelinya kerana beratnya sekitar 50 hingga 100 gram seekor.

“Kebanyakannya dilepaskan semula ke sungai. Dari sinilah bermula idea untuk saya mengubah ketam berkenaan kepada produk bernilai, sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada nelayan,” katanya.

Ketam yang baru ditangkap ditempatkan (direhatkan) di dalam sangkar simpanan khas sebelum proses pemotongan organ dilakukan.

Ia bagi membolehkan ketam berkenaan membesar dan mencapai saiz dikehendaki serta sentiasa sihat atau segar.

Bagi mengawal pembesaran sempurna, ikan baja akan diberikan dua kali sehari sebagai makanan utama kepada ketam berkenaan.

Muhammad Nur Rafizi berkata, sebenarnya semua jenis ketam boleh diproses untuk dijadikan ketam kulit lembut, tetapi yang terbaik ialah spesies ketam ‘pondan’ kerana ia cepat menjalani proses bersalin kulit dan membesar.

“Kaedah membuang kaki dilakukan dengan mencucuk jarum tajam seperti peniti halus di bahagian sendi terus ke ototnya.

“Apabila jarum berkenaan terkena bahagian sensitif otot, kaki atau sepitnya akan tertanggal dengan sendirinya,” katanya.

Di peringkat itu, katanya, kepakaran khusus diperlukan kerana jika tersilap cucuk ketam berkenaan akan mati.

“Ketam yang siap menjalani proses ini akan ditempatkan ke dalam bakul ternakan.

“Bakul plastik dibahagikan kepada empat bahagian atau petak bertujuan mengasingkan ketam berkenaan,” katanya.

Bahagian tepi bakul berkenaan pula diikat dengan polisterin putih sebagai pelampung supaya ia timbul di permukaan air.

“Tahap ini yang paling penting. Kedudukan serta kedalaman paras air dalam bakul hendaklah betul dan selesa bagi ketam.

“Jika tersilap akan membawa padah hingga berlaku kematian,” katanya.

Katanya, proses bersalin kulit akan berlaku pada tahap itu dan ia memerlukan penjagaan rapi.

“Bakul ternakan perlu diperiksa setiap hari supaya ketam tidak lemas. Lazimnya ia mengambil masa antara lima hingga 20 hari untuk tempoh bersalin kulit,” katanya.

Jelasnya, pemberian makanan ikan baja segar hendaklah dilakukan setiap dua hari sekali sebagai bekalan protein untuk proses bersalin kulit.

Katanya, pemberian makanan bergantung kepada kematangan ketam berkenaan.

“Bagi ketam yang memasuki tempoh pramatang atau memasuki minggu kedua selepas dipotong kakinya, ia akan diberikan makanan setiap dua hari sekali.

“Manakala yang matang atau akan memasuki tempoh bersalin kulit, makanan diberikan setiap tiga hari sekali,” katanya.

Ketam berkenaan kemudian akan menggunakan dua kaki untuk bergerak mencari makanan (ikan) yang disediakan.

“Banyak faktor mendorong proses bersalin kulit ini berlaku, antaranya keadaan suhu air dan tahap kematangan ketam itu sendiri.

“Jika suhu air mula berubah dan kematangan ketam sempurna, proses bersalin kulit akan berlaku dengan begitu cepat,” katanya.

Proses bersalin kulit biasanya berlaku pada waktu malam dan selepas tiga hingga empat jam bersalin kulit (cengkerang), barulah ia mengeras.

“Di peringkat ini, kekerapan memeriksa semua bakul ternakan hendaklah dilakukan untuk memastikan ketam lembut terus diambil dan ditempatkan ke dalam peti simpanan sejuk beku,” katanya.

Proses penyimpanan ini dilakukan bertujuan untuk menjaga kualiti daging ketam berkenaan supaya sentiasa berada dalam keadaan segar untuk dipasarkan.

“Menariknya di sini ialah ketam baru yang cukup sifatnya akan merayap keluar daripada cengkerang asal.

“Ia berlaku seolah-olah ‘wujud’ ketam yang baru lahir sempurna sifat dan saiznya seperti ketam asal yang dipotong kakinya,” katanya.

Cengkerang lama yang ditinggalkan hendaklah segera dibuang bertujuan mengelak sebarang penyakit yang mungkin berlaku.

Menurut Muhammad Nur Rafizi, permintaan terhadap ketam lembut begitu tinggi dan harganya begitu baik sekali.

“Permintaan semakin bertambah setiap bulan terutama daripada pengusaha restoran makanan laut di Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur.

“Resipi terbaik ketam kulit lembut ialah masakan ketam tiga rasa. Selain itu, ia sedap jika dimasak goreng celup tepung dan goreng berlada,” katanya.

Dengan 4,000 sangkar ternakan sedia ada, dia hanya mampu mengeluarkan sekitar 500 hingga 800 kilogram sebulan.

Namun, ia masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran. Bagi mengatasi masalah itu, 100 unit petak sangkar ternakan baru akan dibina.

Bimbingan dan khidmat nasihat daripada pegawai Jabatan Perikanan Perak banyak membantu kejayaannya.

Pengeluaran pertama bermula pada 2010 dengan 2,400 kilogram manakala pada 2011 dan 2012, masing-masing berjumlah 13,200 dan 10,300 kilogram.

“Namun, kini pengeluaran semakin berkurangan berikutan penebangan hutan bakau untuk dijadikan kolam ternakan udang di kawasan berkenaan dilakukan tanpa kawalan.

“Kesannya hidupan air termasuk ketam, ikan dan siput yang menjadi mata pencarian utama nelayan selama ini akan pupus.

“Fenomena ini akan menjadi mimpi ngeri kepada lebih 50 nelayan sungai yang bergantung hidup darinya. Mungkin mereka juga bakal lenyap daripada industri ini,” katanya.

 

MASALAH KEKURANGAN IKAN MARIN

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on December 12, 2013 at 12:50 PM Comments comments (0)

GAMBAR ATAS : Mohamed Razali Mohamed melihat alga hijau yang dijadikan sebagai makanan kepada organisma mikro sebelum organisma mikro tersebut dijadikan pula makanan untuk benih ikan.

Hasil laut seperti ikan kini tidak hanya dijadikan hidangan semata-mata, namun sesetengah nelayan menangkap anak-anak ikan untuk dijadikan produk sampingan seperti baja (ikan baja) dan makanan haiwan ternakan.

Terbaharu, ketegasan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menguatkuasakan larangan penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda 38 milimeter patut dipuji dan disokong sepenuhnya.

Penguatkuasaan tersebut untuk melindungi sumber marin seperti sumber makanan, batu karang dan anak-anak ikan dapat terus membesar sekali gus memastikan stok ikan dalam perairan negara sentiasa terkawal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Aquagrow Corporation Sdn. Bhd., Mohamed Razali Mohamed, sejak 2005, pendaratan ikan marin mencatatkan penurunan bermula daripada 35 peratus kepada 30 peratus pada tahun 2010.

Bagaimanapun katanya, di sebalik kemerosotan tersebut, permintaan masyarakat dunia terhadap hasil laut terus meningkat saban tahun berikutan faktor pertambahan penduduk di seluruh dunia.

"Malah, jika dilihat keadaan masa kini, nelayan mengalami kesukaran untuk mendapatkan hasil laut kerana stok ikan marin semakin berkurangan akibat penangkapan yang berleluasa.

"Asia merupakan antara yang benua yang terbesar membekalkan ikan ke seluruh dunia sebelum ini, namun trend tersebut telah berubah di mana negara seperti China lebih banyak mengimport berbanding mengeksport hasil laut bagi memenuhi permintaan rakyatnya yang semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat anak syarikat Aquagrow Corporation Sdn. Bhd., JHR Aquaculture Sdn. Bhd., di Telaga Habour Park, Pantai Kok, Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Jelasnya, apabila hasil marin semakin kurang diperolehi oleh nelayan, pola permintaan terhadap ikan laut berubah kepada sektor penternakan (akuakultur).

"Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2011, kita mendapati terdapat peningkatan pengeluaran bagi ikan ternakan.

"Malah sektor tersebut kini dilihat begitu cepat berkembang dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan sektor akuakultur," katanya.

Menyedari potensi penternakan ikan marin yang semakin berkembang pesat, Aquagrow Sdn. Bhd. menerusi JHR Aquaculture Sdn. Bhd. turut melibatkan diri dalam mengusahakan ternakan ikan marin menggunakan bioteknologi.

Ujar Mohamed Razali, pihaknya kini sedang mengusahakan ternakan ikan marin di dalam sangkar yang dahulunya merupakan projek yang tergendala, namun dalam bentuk yang berbeza kerana menggunakan bioteknologi sepenuhnya.

Antara ikan yang dipelihara adalah spesies kerapu, siakap, jenahak dan ikan merah berikutan spesies tersebut mendapat permintaan tinggi bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Harga bagi ikan siakap masa kini adalah RM17 sekilogram (kg), jenahak (RM20 /kg), dan ikan merah RM24 kg dan kadar harga itu sentiasa berubah mengikut permintaan, tambahan ketika musim perayaan.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap ikan marin, dua buah ladang diwujudkan bagi menampung permintaan serta menyediakan stok ikan agar sentiasa mencukupi.

Kedua-dua ladang ternakan tersebut terletak di Langkawi, Kedah dan Tok Bali di Kelantan.

"Kita memilih untuk mewujudkan ladang ternakan berasingan adalah sebagai salah satu strategi berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Sebagai contoh, jika apa-apa berlaku, contohnya pencemaran mahupun bencana alam di satu-satu kawasan yang boleh memberi kesan terhadap ternakan, sekurang-kurangnya tidak semua ternakan akan terjejas kerana kita memiliki kawasan yang berasingan," katanya.

Malah, dalam masa yang terdekat, Aquagrow juga akan membina sebuah lagi ladang ternakan ikannya di Sabah bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Projek ternakan ikan marin tersebut kini memasuki tahun yang ketiga dan ikan yang diternak sedia untuk dijual sama ada di dalam mahupun luar negara.

Ujar Mohamed Razali, permintaan yang tinggi bagi ikan marin menyebabkan ada sesetengah usahawan ikan dari Hong Kong sedang berusaha memujuknya untuk menjual stok ikan sedia ada.

Namun, berpengalaman luas dalam sektor ternakan ikan marin menjadikan Mohamed Razali tidak mudah untuk menerima tawaran malah menunggu sehingga waktu dan ketika yang sesuai untuk menjual stok ikan yang bernilai ratusan ribu ringgit tersebut.

Antara stok ikan yang sedia untuk dijual pada hujung tahun itu adalah kerapu dan siakap atau lebih dikenali sebagai Barramundi di kalangan peminat ikan tersebut di Eropah.

"Harga ikan akan melambung pada musim-musim perayaan terutamanya pada perayaan Tahun Baru Cina pada awal tahun dan Sambutan Hari Natal pada bulan tiga dan kebiasaannya ikan-ikan ini akan dijual keluar negara seperti Thailand, Korea, China, Hong Kong dan Eropah," katanya. - ASHRIQ FAHMY AHMAD

SUMBER : UTUSAN

 

 

Lebih 1 juta pekerja mempunyai Sijil, Diploma, Diploma Lanjutan kemahiran Malaysia

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on April 12, 2013 at 9:50 AM Comments comments (0)

 

PORT DIKCSON: Seramai 1.19 juta pekerja di negara ini mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) sekali gus mengiktiraf mereka sebagai pekerja mahir dalam bidang vokasional.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata pada tahun lalu saja sebanyak 102,035 sijil dikeluarkan yang menyaksikan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding pengeluaran sijil pada tahun sebelumnya.

"Dengan adanya pengeluaran sijil-sijil ini tenaga kerja di negara kita akan beransur-ansur berubah daripada kurang mahir kepada berkemahiran tinggi sekali gus berdaya saing.

"Mereka yang menerima sijil-sijil ini akan mempunyai pengalaman dan peluang kerja yang lebih luas dan mendapat permintaan daripada industri," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pertandingan kemahiran Malaysia 2013 di Dataran Seri Kemang di sini, hari ini.

Beliau berkata, sijil itu diberi kepada rakyat tempatan yang mahir dalam sesuatu bidang melalui pengalaman bekerja terdahulu tetapi tidak mempunyai sijil yang mengiktiraf kebolehan mereka.

Maznah berkata, pengeluaran sijil itu bertujuan memastikan negara ini mempunyai pekerja mahir dan berpengetahuan tinggi sejajar untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Mengenai pertandingan itu, Maznah berkata, ia adalah acara tahunan anjuran kementerian dengan kerjasama pihak industri seperti Proton Holdings Berhad/DRB Hicom untuk memberi pengiktirafan kepada pelatih atau pekerja yang mempunyai kemahiran.

Beliau berkata, ia juga bertujuan mendidik masyarakat terutama golongan belia dan melatih mereka dalam pelbagai bidang kemahiran industri sekali gus melahirkan pekerja mahir negara pada masa akan datang. - BERNAMA

Pelatih institut pertanian, NATC dapat elaun

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on November 5, 2012 at 10:25 PM Comments comments (2)

SERDANG — Seramai 1,623 pelatih di institut pertanian dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) seluruh negara akan kembali menerima elaun sehingga RM300 sebulan bermula Januari depan.

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia membabitkan peruntukan RM4 juta setahun, di mana pelatih sijil akan menerima RM200 sebulan, RM250 sebulan untuk pelatih diploma manakala RM300 sebulan untuk pelatih yang menjalani latihan praktikal industri.

 

"Sebelum 2010, pelatih-pelatih ini diberi duit poket tapi tak selaras. Sebagai contoh pelatih Institut Pertanian diberi elaun RM50 sebulan, di bawah Jabatan Veterinar diberi RM60 sebulan, tetapi duit poket ini diberhentikan pada 2010 kerana kekurangan peruntukan.

 

"Pemberian semula elaun ini menunjukkan bahawa kerajaan memberi tumpuan serius kepada generasi muda supaya mereka benar-benar komited dan akan meneruskan perjuangan dalam sektor pertanian,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan menteri dengan siswazah tani dan usahawan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Institut Pertanian Serdang di sini hari ini.

 

Noh berkata kementerian juga diberi peruntukan RM4 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti di pusat-pusat institut pertanian di seluruh negara. — BERNAMA

Nafas dijangka wujud Bank Peladang 2020

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on November 4, 2012 at 6:50 AM Comments comments (0)

KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), sebuah agensi awam yang diperbadankan, akan mewujudkan Bank Peladang bagi membantu ahlinya, para peladang di negara ini, menjelang 2020.

 

Pengurus Dana Peladang Kebangsaan, Nazwan Fauzan berkata, pihaknya sekarang sedang mengembleng tenaga untuk mengumpul dana sekurang-kurangnya RM100 juta daripada ahli-ahlinya untuk tujuan itu pada tahun ini.

 

"Insya-Allah, kalau semua ahli peladang yang ada di negara ini seramai kira-kira 801,132 orang membayar minimum RM10 seorang sebulan, matlamat tersebut pasti akan tercapai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Dana Peladang Kebangsaan (DPK) kepada jemaah dan pemimpin peladang Terengganu anjuran Nafas di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Shamsuddin Mat Rani dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Sawalludin Ahmad.

 

Beliau berkata sejumlah RM700 juta mampu dikumpulkan menjelang 2020 sekiranya para petani di negara ini mampu menyumbang RM10 seorang sebulan.

 

Katanya Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak akan melancarkan Dana Peladang Kebangsaan itu sempena Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) Nafas pada Disember nanti.

 

Nazwan berkata, objektif Nafas mewujudkan Dana Peladang Kebangsaan itu sebagai menyahut seruan kerajaan di dalam tranformasi memacu ekonomi negara.

 

Selain itu, ia juga bertujuan mengeluarkan masyarakat tani di negara ini dari kepompong kemiskinan di mana rata-rata masyarakat luar bandar berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

 

Selepas penubuhan dana itu, katanya Nafas dijangka dapat menyatu dan mengembleng sumber dana bagi membiayai projek-projek yang diusahakan para petani.

 

"Diharapkan dengan penubuhan tersebut, ia akan membawa mereka kepada pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya.

 

Pada masa ini, beliau berkata Nafas melabur dalam bidang pengilangan baja kimia yang berpengkalan di Gurun, Kedah selain usaha tanaman sawit di Indonesia serta perdagangan, terutamanya pembekalan imput pertanian, racun dan baja kepada petani tempatan.

 

Nafas juga menjadi induk kepada pembekalan ayam daging kepada institusi-institusi kerajaan bagi mengukuhkan lagi sumber kewangannya.

 

Beliau berkata hasil wang dana itu akan dipinjamkan kepada ahli individu atau pertubuhan peladang kawasan (PPK) untuk melaksanakan projek-projek.

 

Ahli rangkaian peladang di peringkat nasional terdiri daripada Nafas, unit ahli koperasi asas tani, peladang negeri dan PPK. - Bernama

Pengeluaran ikan negara lepasi had sara diri

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on June 21, 2012 at 2:30 PM Comments comments (0)

PUTRAJAYA 18 Jun - Malaysia kini mencapai tahap sara diri daripada segi keperluan ikan bagi memenuhi keperluan lebih 28 juta penduduknya.

 

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, perkembangan itu membolehkan hasil ikan dalam negara dieksport bagi memenuhi permintaan negara luar.

 

Kata beliau, ketika ini hasil tangkapan ikan negara berjumlah 1.3 juta tan metrik berbanding keperluan penduduk kira-kira 700,000 tan metrik setahun.

 

"Ikan yang kita daratkan cukup untuk keperluan penduduk dan negara juga telah mencapai tahap sara diri hampir 100 peratus, situasi ini amat memberangsangkan untuk kemajuan sektor perikanan di Malaysia.

 

"Lebihan yang ada membolehkan negara mengeksport ikan terutama yang berkualiti baik, contohnya spesies ikan kerapu kacukan, ikan merah dan juga udang," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Jalinan Mesra Jabatan Perikanan Bersama Media di sini hari ini.

 

Menurut Ahamad Sabki, jumlah eksport ikan dalam negara kini juga positif terutama bagi spesies yang bermutu tinggi dan jarang ditemui.

 

"Ini tidak bermakna bekalan ikan dalam negara daripada jenis bermutu berkurangan, umum tahu keperluan rakyat kita adalah kepada ikan yang bukan jenis tersebut.

 

"Antara ikan yang mendapat permintaan tinggi dalam negara adalah tongkol, pari, cencaru dan juga siakap. Keadaan ini menyebabkan kita juga terpaksa mengimport ikan jenis tersebut untuk keperluan industri dan penduduk di sini," katanya.

 

Dalam pada itu, bersempena majlis tersebut juga, Ahamad Sabki turut mengumumkan penganjuran Program Kembara Jabatan Perikanan Bersama Media 2012 pada 5 hingga 8 Julai ini.

 

Menurutnya, program tersebut akan melibatkan 12 pengamal media cetak dan elektronik tempatan.

 

"Lokasi kembara merupakan kawasan tumpuan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk-produk perikanan melibatkan Jabatan Perikanan merangkumi negeri Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

 

"Program empat hari tiga malam itu bermatlamat mempromosi aktiviti-aktiviti Jabatan Perikanan dan golongan sasar seperti nelayan, penternak ikan dan pengusaha industri asas tani melibatkan perikanan," katanya.

PENGHASILAN BENIH KERAPU BERKUALITI

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on June 5, 2012 at 6:50 AM Comments comments (1)

TEKNOLOGI hibrid sebenarnya telah lama kita ketahui malah ramai di kalangan masyarakat awam turut menyokong penyelidikan dan pengembangan dalam teknologi ini.

Bermula daripada produk pertanian seperti padi hibrid sehingga kepada kenderaan yang juga dilengkapi teknologi tersebut.

Kini, produk akuakultur juga tidak ketinggalan melalui proses teknologi hibrid.

Terbaru adalah penghasilan kerapu hibrid hasil kacukan induk kerapu harimau (epinephelus fuscoguttatus) dan kerapu kertang (epinephelus lanceolatus).

Kerapu harimau, kerapu kertang dan kerapu hibrid hasil kacukan kedua-dua spesies tersebut merupakan antara yang paling banyak di ternak di Malaysia.

Ia berikutan faktor harganya yang mahal di samping memenuhi kriteria pemilihan spesies untuk akuakultur seperti tahan lasak, tahan penyakit dan benih yang mudah diperolehi.

Kerapu harimau merupakan spesies bersaiz sederhana yang lebih mudah dibiakkan tetapi agak lambat membesar.

Manakala kerapu kertang merupakan yang paling cepat membesar namun sukar untuk dibiakkan berikutan kegagalan induk betina mengeluarkan telur secara semulajadi atau aruhan.

Justeru, kacukan kedua-dua spesies tersebut berjaya menyelesaikan masalah berkenaan kerana benih kerapu hibrid mewarisi ciri-ciri perantaraan yang baik daripada kedua-dua induk asal.

Antaranya, lebih tahan penyakit, cepat membesar dan morfologi yang menarik di samping harga yang tinggi dipasaran.

Ciri-ciri tersebut menyebabkan kerapu hibrid menjadi pilihan penternakan marin tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Harga pasaran ikan kerapu hibrid pernah melonjak sehingga RM70 sekilogram (kg). Namun kini harganya agak menurun pada kadar RM40 hingga RM50 per kg di sebabkan faktor penawaran atau bekalan yang semakin meningkat.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, ikan kerapu menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan hasil pengeluaran akuakultur ikan marin negara.

"Ia mendapat permintaan tinggi dalam bentuk ikan hidup di pasaran luar negara khususnya Hong Kong dan China.

"Malah, hasil pengeluaran akuakultur ikan marin negara kini mencecah 35,000 tan metrik setahun," katanya ketika berucap merasmikan Promosi Teknologi Akuakultur Ikan Kerapu di Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin (FRI) Tanjung Demong, Jabatan Perikanan, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Jelas Ahamad Sabki, ternakan ikan kerapu secara komersial dalam sangkar di kawasan laut terlindung bermula sejak 1973.

Antara spesies terawal dan paling digemari pada ketika itu adalah kerapu hijau (epinephelus suillus). Namun bekalan benih ikan tersebut amat terhad dan bermusim serta hanya diperolehi dari sumber semulajadi.

Bermula 1990an, bilangan spesies kerapu yang diternak semakin bertambah menggunakan benih liar dan benih yang diimport dari Taiwan dan Indonesia.

Ia termasuk kerapu merah (epinephelus bleekeri), kerapu tikus (cromeleptis altivelis) dan kerapu sunoh (plectropomus leopardus).

Kini, teknologi pembenihan kerapu hibrid berjaya dikembangkan oleh beberapa pengusaha tempatan termasuk pengusaha pusat pembenihan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang mendapat bimbingan secara terus daripada FRI Tanjung Demong.

Harga semasa telur kerapu hibrid yang dihasilkan mencecah RM6,000 hingga RM10,000 bagi sejuta biji dan harga benih yang bersaiz 7.5 sentimeter (sm) di antara RM8 hingga RM10 per ekor.

Kerapu kertang dipilih sebagai spesies kacukan kerana ia mempunyai ciri-ciri fenotip yang baik seperti cepat membesar dan tahan kepada perubahan persekitaran.

Ciri-ciri tersebut dapat mengurangkan risiko semasa peringkat ternakan.

Kerapu hibrid boleh mencapai saiz pasaran satu kg hingga 1.2 kg dalam masa yang singkat iaitu 10 hingga 12 bulan berbanding kerapu harimau sehingga 15 bulan bermula dari peringkat telur.

Proses atau kaedah pembiakan dibuat secara in vitro, di mana mani dan telur disenyawakan di luar badan dengan bantuan suntikan hormon.

Apabila induk kerapu harimau betina telah sedia untuk mengeluarkan telur, lurutan dibuat pada bahagian abdomen secara perlahan bagi mengeluarkan telur-telur ke dalam bekas yang kering dan bersih.

Manis kerapu kertang akan dicampurkan dengan telur kerapu harimau dan di kacau sehingga sebati. Selepas beberapa minit, telur yang tersenyawa dimasukkan ke dalam tangki yang diisi air laut untuk proses perkembangan telur berlaku.

Penetasan telur berlaku di antara 16 hingga 18 jam selepas telur disenyawakan dan dianggarkan 300,000 hingga 500,000 biji telur diperolehi bagi setiap sekilogram induk betina.

Telur-telur yang disenyawakan akan dipindahkan ke dalam tangki pembenihan untuk jangka masa 30 hingga 40 hari sehingga selesai peringkat metamorfosis sebelum dituai.

Perubahan persekitaran dan faktor kualiti telur boleh menyebabkan kematian (mortaliti) yang tinggi pada peringkat sebelum metamorfosis.

Benih perlu dikelaskan dari masa ke semasa bagi mengurangkan kanibalisme (tabiat makan sesama sendiri) terutamanya pada saiz 2.5 sm hingga 7.5 sm.

Pada umur 100 hari selepas ditetaskan kerapu hibrid mencapai saiz 10-12 sm dan sedia untuk dipindah ke dalam sangkar atau kolam penternakan seterusnya di pelihara sehingga mencapai saiz matang untuk di jual.

 


KISAH KEJAYAAN FRI TANJUNG DEMONG

Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin (FRI) Tanjung Demong , Jabatan Perikanan merupakan antara pusat seumpamanya yang dimiliki oleh jabatan tersebut,

Pada tahun 1988, (FRI) di Tanjung Demong memulakan inisiatif pembenihan ikan kerapu setelah berjaya mengeluarkan benih ikan siakap.

Dua tahun kemudian, institut berkenaan berjaya mengeluarkan benih kerapu hijau dan dikenali di seluruh negara.

Bagaimana pun teknologi tersebut tidak berjaya dikembangkan kepada pihak industri ekoran terdapat beberapa kerumitan dari segi teknikal yang berkaitan ciri-ciri biologi spesies tersebut.

Antara permasalahan yang dikenalpasti ketika itu adalah nisbah jantina yang tidak seimbang (kekurangan induk jantan yang ketara), kadar hidup yang rendah di peringkat pembenihan dan ternakan akibat pelbagai masalah penyakit yang sukar dikenal pasti dan dirawat

Pada tahun 1994, pusat berkenaan telah mengambil inisiatif memperkenalkan spesies baru iaitu kerapu harimau dan setahun kemudian berjaya mengeluarkan benih kerapu tersebut secara besar-besaran.

Malah, teknologi pembenihan kerapu harimau turut dikembangkan di kalangan pengusaha tempatan biarpun agak perlahan berbanding di Indonesia kerana kekangan bekalan induk yang hanya boleh diperolehi di Sabah.

Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) pembenihan kerapu di FRI tersebut terhenti. Namun ia dibangunkan semula pada tahun 2004 untuk membiak kerapu kertang.

Pihak FRI Tanjung Demong turut mengalami masalah kerana kerapu kertang agak sukar dibiakkan berikutan tahap kematangan induk-induk betina yang dipelihara di pusat pembenihan tidak mencapai tahap optimum untuk tujuan aruhan pengeluaran telur.

Bagi induk jantan pula, biarpun telah berada pada tahap optimum, bilangannya yang rendah menyukarkan proses pembiakan.

Namun kejayaan sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghasilkan benih kerapu hibrid telah mendorong FRI Tanjung Demong mengambil inisiatif untuk turut menghasilkan kerapu hibrid menggunakan stok induk kerapu kertang dan kerapu harimau yang sedia ada.

Justeru, mulai pada tahun 2009, melalui kerjasama R&D antara FRI Tanjung Demong dan Seraya Akuatik Sdn. Bhd., teknologi pembenihan kerapu hibrid berjaya dibangunkan secara besar-besaran.

 

Kerajaan Laksana Projek Perintis Latih Siswazah Ternak Ikan Laut

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on April 24, 2012 at 3:35 AM Comments comments (0)


JASIN, 20 April (Bernama) - Sepuluh siswazah dipilih mengikuti program perintis penternakan ikan marin dalam usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran ikan negara.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom berkata mereka akan mengikuti latihan selama enam bulan dan lapan yang layak akan dipilih meneruskan latihan selama tiga tahun lagi.

 

"Setelah berjaya menghabiskan sesi latihan, kementerian akan memberi bantuan kewangan RM50,000 sebagai modal kepada mereka yang benar-benar serius ingin menjadi usahawan penternakan ikan laut," katanya kepada pemberita, di sini pada Jumaat.

 

Beliau sebelum itu menghadiri perasmian projek Nurseri Ikan Marin, Zon Industri Akuakultur (ZIA) di Sempang, Merlimau, di mana semua pelatih berikut menjalani latihan.

 

Perasmian projek fasa kedua melibatkan pembangunan infrastruktur bernilai RM4.2 juta itu dirasmikan oleh Anggota Parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah.

 

Mengulas lanjut, Mohd Johari berkata kementeriannya melalui Jabatan Perikanan negeri dan kerajaan negeri akan memberi latihan, tunjuk ajar dan bantuan infrastruktur kepada siswazah yang berminat menjadikan bidang itu sebagai kerjaya mereka.

 

Katanya kementerian juga akan membantu siswazah terbabit mendapatkan tanah bagi memulakan projek penternakan tersebut.

 

Insentif tersebut bertujuan menarik lebih ramai golongan siswazah menyertai bidang ini bagi memajukan industri penternakan ikan laut yang mempunyai potensi besar pada masa hadapan, katanya.

 

"Kurang daripada dua peratus siswazah terutama jurusan pertanian berminat menceburi industri pertanian kerana mereka menganggap bidang tersebut tidak memberi keuntungan sehingga menyebabkan kebanyakan industri pertanian di negara gagal berkembang pesat," katanya.

 

Sementara itu, Ahmad berkata projek ZIA Sempang yang mula dibangunkan kerajaan negeri pada 2006 dengan kos keseluruhan RM 6.9 juta di atas tanah seluas 14.85 hektar di persisiran Sungai Sempang itu bertujuan meningkatkan pengeluaran hasil ikan negara.

 

"Fasa pertama ZIA melalui pembinaan tujuh kolam ternakan berjaya menghasilkan kira-kira 83 tan metrik ikan siakap bernilai RM850,000," katanya.

Perhimpunan Perdana Usahawan Siswazah dan Belia tani serta Pelancaran Kelab Myagrosis Peringkat Kebangsaan

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on December 11, 2011 at 3:30 AM Comments comments (1)

Perhimpunan Perdana Usahawan Siswazah dan Belia tani serta Pelancaran Kelab Myagrosis Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada:

Tarikh : 16-18 Disember 2011.
Masa  : 9 pagi hingga 10 malam.
Tempat : UiTM,Merbok,Kedah.

Program ini akan dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Disember 2011,jam 10:30pagi.

SEMUA DIJEMPUT HADIR. 

PERMOHONAN KEMASUKAN SESI JANUARI 2012 DIBUKA

Posted by SKM AKUAKULTUR WEB MANAGER on November 10, 2011 at 6:30 AM Comments comments (5)

PERMOHONAN KEMASUKAN SESI JANUARI 2012 DIBUKA

Bagi sesiapa yang berminat untuk melanjutkan pengajian di Kolej Pertanian Malaysia serta pusat-pusat bertauliah yang bernaung dibawah Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan(NATC),pengambilan bagi sesi januari 2012 akan dibuka pada  13 november hingga 20 november 2011.

Permohonan boleh dibuat secara online di http://202.190.123.54/NATC/online/

Semakan keputusan boleh dibuat di http://202.190.123.54/NATC/online/semakan/

 

Antara kursus yang ditawarkan dan tempat bertauliah* ialah:

 

TANAMAN • Institut Pertanian Kuala Lipis, Pahang

• Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga

RUMINAN • Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga

• Institut Veterinar Malaysia, Kluang, Johor

AKUAKULTUR • Pusat Pengeluaran & Penyelidikan Benih Udang

Kebangsaan (PPPBUK) Pulau Sayak, Kedah

TEKNOLOGI PERIKANAN TANGKAPAN

(LELAKI SAHAJA) • Institut Perikanan Malaysia, Chendering, Terengganu

PEMPROSESAN MAKANAN • Kolej Pertanian Malaysia, Jalan Langgar, Alor Star, Kedah

• MARDI Serdang, Selangor

PENGEDARAN MAKANAN PERTANIAN • Institut Pengurusan Peladang, Sg. Petani, Kedah



Permohonan dibuka dari 13 november 2011 hingga 20 november 2011.

Keputusan online dijadualkan akan diumumkan pada 29 november 2011 hingga 4 disember 2011.

 

*Tertakluk kepada pindaan semasa



Rss_feed

VIDEO TERKINI

347 views - 0 comments
391 views - 0 comments
453 views - 0 comments
425 views - 0 comments

Daftar e-mail anda untuk info terkini SKM Akuakultur